CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

I made this widget at MyFlashFetish.com.


Friday, January 21, 2011

Dialek : Keistimewaan dan Masalahnya

Dialek merupakan bahasa daerah yang dituturkan oleh negeri masing-masing. Dialek merupakan identiti bagi setiap penutur yang dapat menggambarkan jiwa sesuatu bangsa tersebut bak slogan yang dilaungkan kerajaan iaitu "Bahasa Jiwa Bangsa". Keistimewaan yang dimiliki oleh setiap dialek telah membezakan penduduk setiap negeri terutamanya di Malaysia.
Keunikan bahasa dialek ini merupakan kelebihan namun dialek juga mempunyai kekurangan yang menimbulkan masalah yakni dari aspek komunikasi.

Situasi :

Hari ni Cikgu Stylo (CM) keluar bersama kawan ke karnival di Kolej Zaaba UPSI. Tengah berjalan di tapak karnival itu, CM dan seorang kawan lelaki berpakat nak mengenakan seorang lagi kawan yang berlagak. Kami mencabar kawan lelaki ni untuk mendapatkan nombor telefon seorang wanita yang berada di tapak karnival tu. Saya meminta dia dapatkan nombor telefon seorang wanita yang tengah sibuk memilih pakaian di gerai yang berkemungkinan wanita itu berasal daripada Sabah atau pun Sarawak berdasarkan penampilannya. Namun yang menarik minat saya bukanlah nombor telefon perempuan itu tetapi perbualan antara mereka. Perbualan mereka seperti berikut ;

A (kawan CM) : Hurm. Hi.
Wanita : Hai. Ada apa?
A : Tak dah apa. Awak ni pelajar UPSI ke?
Wanita : Ya. awak?
A : Samalah. Saya nak kenal boleh kan?
Wanita : Boleh je. Saya tak kisah.
A : Thanks. Nak panggil apa ni?
Wanita : Just call me Nad.
A : Oh ok. Saya A. Saya suka tengok Nad. Nad ni lawalah.
Wanita : Lawa? Nad tak lawalah. Kan Nad dah tegur awak juga. Kalau Nad lawa Nad memang tak layan dan buat tak tahu je dengan awak tau tak.
A : (Pening) Saya puji Nad ni lawalah. Cantik.
Wanita : Oh maaf. Nad ingatkan awak cakap Nad ni sombong. Lawa dalam bahasa Sarawak maknanya sombong.

Menerusi situasi di atas masalah komunikasi berlaku hanya disebabkan oleh perbezaan makna dalam satu perkataan sahaja. Perkataan lawa dalam kalangan orang di Semenanjung Malaysia bermaksud cantik dan kacak manakala membawa maksud sombong bagi penduduk di Sarawak. Hanya disebabkan satu perkataan sahaja telah menimbulkan kekeliruan dan masalah dalam komunikasi. Bayangkan sekiranya terdapat banyak penggunaan perkataan yang mempunyai makna berlainan mengikut dialek? Sudah pasti akan menyukarkan proses komunikasi tersebut berlaku dengan lancar.

Salah satu peranan komunikasi adalah menyampaikan maklumat. Oleh itu, jika wujudnya masalah ketidakfahaman atau kekeliruan makna seperti situasi di atas, penyampaian maklumat tidak akan dapat dilaksanakan dengan berkesan. Sebagai contoh, perkataan saing di negeri Terengganu dan Kelantan bermaksud kawan manakala mendukung makna bersama-sama bagi penduduk di negeri Johor dan Melaka. Perbezaan makna ini akan mengelirukan penyampai dan penerima maklumat. Hal ini sangat penting terutama kepada bakal-bakal guru yang akan mengajar kelak. Penggunaan bahasa yang difahami oleh semua pelajar di setiap negeri perlu diamalkan agar memudahkan pelajar memahami intipati pembelajaran yang ingin disampaikan. Masalah ketidakfahaman bukan sahaja akan menyukarkan penyampaian maklumat malahan turut membantutkan minat pelajar untuk belajar.

Rentetan daripada masalah itu, kekangan ini dapat diatasi dengan menggunakan bahasa kebangsaan rakyat Malaysia yakni bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar tanpa mengabaikan bahasa dialek negeri dan bangsa masing-masing kerana bahasa itu menunjukkan jati diri sesuatu bangsa. Jika kita ingin melihat bangsa yang bertamadun, lihatlah bahasanya.

Sekian~



*video orang Arab pandai kecek Kelate. Malah tahu membezakan bahasa Standard seperti 'cakap' dan bahasa dialek Kelantan iaitu 'kecek'. Video ni membuktikan masalah komunikasi dapat juga diatasi dengan mempelajari bahasa dialek tersebut. Nak belajar bahasa setiap dialek di Malaysia? Mampu?


P/S : Bilalah CM nak belajar bahasa Suluk ni. Bahasa kaum sendiri pun tak faham. Ni pulak nak belajar dialek negeri lain. Tahu serba serbi lebih baik, tahu serba sedikit baguslah, tak tahu langsung satu kerugian~


Thursday, January 20, 2011

Intonasi & Nada, Aplikasi dalam Mesej? Macam mana erk?

Intonasi dan nada bertujuan untuk menunjukkan perasaan, penekanan dan darjah penghabisan perasaan seseorang. Penekanan merupakan tahap perasaan seseorang yang dapat ditunjukkan dengan tingkat tinggi atau rendah nada suara. Darjah penghabisan pula merupakan tahap tertinggi perasaan individu melalui penggunaan imbuhan ter- dan kata penguat seperti sangat dan amat. Intonasi dan nada hanya boleh diperhatikan dalam komunikasi secara verbal iaitu melibatkan pertuturan. Hanya ketika bertutur kita dapat mengekspresikan perasaan secara tepat melalui intonasi dan nada suara. Oleh yang demikian, sering kali berlaku salah faham untuk memahami perasaan penulis ketika menggunakan komunikasi non-verbal yakni tulisan seperti mesej atau surat.

"ya. nanti aku buatlah"

Pernah tak anda dapat mesej seperti di atas? Boleh tak anda menjangka perasaan atau mood pengantar mesej di atas dengan tepat? Adakah pemberi mesej menunjukkan rasa terpaksa? Adakah pemberi mesej ingin menyampaikan perasaan tak suka? atau mungkin mengalah?

Sering berlaku salah faham nada dan intonasi ketika kita menerima mesej. Masalah ini timbul kemungkinan disebabkan penggunaan partikel -lah yang digunakan sebagai penegasan atau penekanan dalam perkataan dan ayat. Salah faham ini akan menimbulkan masalah dalam menjaga hubungan antara penghantar dan penerima mesej.

Isi utama yang saya ingin tekankan di sini adalah kepentingan nada dan intonasi itu untuk menyampaikan perasaan secara tepat. Pertuturan itu lebih berkesan untuk melakukan sebarang perbincangan sama ada berkenaan kerja, perasaan, cinta dan sebagainya bagi mengelakkan masalah lain timbul. Sekian.

p/s : Kena rajin isi kredit telefon untuk buat panggilan dan kurangkan mesej. belajar dari pengalaman. ^^, y


Wednesday, January 12, 2011

Entri Pertama Cikgu Stylo

Blog ni merupakan blog kedua empunya saya. Blog pertama http://www.leodarkboyz.blogspot.com
Blog ni dibina untuk memenuhi tugasan BML3073 Sosiolinguistik Melayu Kump. B di bawah pensyarah Dr. Siti Saniah.
Di awal 8 minggu yang pertama blog ini hanya akan membuat ulasan atau rentetan pengalaman seharian yang berkenaan bahasa. Justeru itu, blog ini akan dijadikan blog ilmiah kerana blog pertama lebih kepada blog peribadi seakan diari.
Blog ini empunya saya yakni Jidih Bin Muluyu D20081032039 pelajar major Pend. Bahasa Melayu semester 6 sesi ke 2 tahun 2010/2011.

Nama blog ini Cikgu Stylo ~Cikgu tak perlu skema kannn?~
Nama ni dipilih kerana lebih dekat kepada diri empunya blog yang gemar bergaya meskipun akan bergelar cikgu. Pada pendapat saya, seorang cikgu tu tidak perlu terlalu skema dari aspek pemakaian kerana identiti yang kemas dan bergaya dapat menarik perhatian pelajar untuk belajar. Itu sekadar pendapat saya sahaja.
Rasanya itu sahaja entri pengenalan kepada blog Cikgu Stylo ini.
Assalamualaikum dan selamat membaca.